Shahrizal ketika bermain di sukma |
KELEWATAN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) bertindak menyaksikan pasukan Seladang kemungkinan hilang khidmat penyerang muda, Shahrizal Saad kepada pasukan lain.
Menurut sumber, adik bekas pemain pertahanan negeri, Syamsol Saad itu sudah memeterai perjanjian dengan sebuah pasukan selatan tanah air gara-gara Pafa tidak menunjuk minat untuk menggunakan khidmatnya.
“Shahrizal berminat menyarung jersi Perak untuk musim akan datang tapi tidak menerima maklum balas mengenai kedudukannya hingga kini.
“Berikutan itu dia sudah mengikat perjanjian dengan pasukan terbabit,” katanya.
Menurut sumber itu, pemergian Shahrizal yang ketika ini adalah kapten skuad Piala Emas Raja-Raja Perak pasti merugikan negeri selepas usaha membangunkan pemain itu dilaksanakan sekian lama.
“Saya yakin banyak wang dibelanjakan untuk melahirkan seseorang pemain tetapi alangkah ruginya segala usaha itu apabila pemain dipikat pasukan lain,” katanya.
Beliau juga mempertikai tindakan Pafa mengambil kembali khidmat pemain kuda tua bagi menghadapi kempen Liga M musim 2011.