Monday, November 15, 2010
Skuad Piala AFF Suzuki Mantap
SKUAD bola sepak kebangsaan yang pincang sepanjang kempen Sukan Asia 2010 bakal diperkuatkan dengan 10 pemain tambahan bagi menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia bermula 1 Disember depan.
Mereka terdiri daripada Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Nasriq Baharom, Azmi Muslim, Halim Zainal, Khairul Helmi Johari serta dua penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias.
Nama mereka berada dalam senarai 30 pemain yang didaftarkan bersama-sama baki 20 pemain yang membawa cabaran negara di Guangzhou, China.
Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, skuad negara mungkin akan pulang ke tanah air pada hari ini atau esok sebelum latihan pusat dijangka bermula pada Isnin depan. "Inilah pemain yang telah saya daftar. Tetapi kita tidak akan dapat mengguna- kan khidmat Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani yang cedera teruk. "Cuma saya harap pemain-pemain yang tidak dibawa ke Sukan Asia akibat kecederaan seperti Baddrol, Sabre, Nasriq, Azmi dan Sharbinee sudah kembali pulih untuk ke menghadapi Piala AFF Suzuki.
"Saya juga berharap agar S. Chanthuru tidak mengalami kecederaan hamstring serius ketika perlawanan tadi (semalam)," kata Rajagobal selepas pertemuan dengan Iran petang semalam.
Bagi aksi Kumpulan A nanti, Malaysia akan bertemu tuan rumah, Indonesia (1 Disember), Thailand (4 Disember) dan perlawanan terakhir dengan Laos pada 7 Disember.
Sumber: Kosmo Online