Razali Umar Kandasamy |
Masalah pemain ini dikatakan akan turut menjadi agenda mesyuarat pengurusan Pafa minggu depan.
Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang khabar berita daripada Razali walaupun dia cuba dikesan.
Sebelum "missing in action", hanya satu sistem pesanan ringkas (SMS) yang dikatakan diterima oleh seorang pegawai pasukan daripada pemain itu yang menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.
"Razali tidak pernah menghubungi saya sejak kehilangannya diperkatakan pada 9 Mac lalu," kata Zainol Fadzi kepada pemberita di sini hari ini.
Kegagalan Razali menghadiri latihan menyebabkan dia diketepikan dalam satu perlawanan Liga Super dan dua perlawanan suku akhir Piala FA.
"Kita tidak tahu masalah yang dihadapi oleh penyerang ini. Ia akan menjadi salah satu agenda mesyuarat pengurusan Pafa minggu depan," kata Zainol Fadzi.
Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini telah mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan yang lebih keras.
Pada awal musim, Pafa telah memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu.
"Kalau hukuman potong gaji pun tidak menginsafkan Razali, hukuman penggantungan mungkin akan menyedarkannya," kata seorang ahli majlis Pafa sebelum ini.
Sumber: BERNAMA