JAKARTA – Skuad bola sepak kebangsaan menerima tamparan hebat apabila
tewas 1-5 di tangan Indonesia pada aksi pertama peringkat Kumpulan A
saingan Piala AFF Suzuki 2010 semalam.
Turun tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang terpaksa diketepikan
ekoran masalah kecederaan, skuad kendalian K. Rajagobal itu dilihat
terlalu kerdil jika dibandingkan dengan Indonesia.
Bagaimanapun, pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno
itu, anak-anak buah Rajagobal berjaya membuka tirai jaringan menerusi
penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.
Namun, kegembiraan barisan pemain Malaysia yang diketuai Safiq Rahim
tidak bertahan lama apabila Indonesia memperoleh gol penyamaan selepas
tonggak pertahanan, Mohd. Asraruddin Putra Omar tertampan bola masuk ke
gawang sendiri empat minit kemudian.
Dibantu dengan sokongan daripada ribuan penyokong yang hadir ke
stadium, Indonesia terus menghukum kelekaan barisan benteng pertahanan
Malaysia apabila meledak gol kedua menerusi Christian Gonzales pada
minit ke-33.
Jaringan tersebut membolehkan Indonesia mendahului perlawanan 2-1 sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Sebaik babak kedua bersambung, hasrat anak-anak buah Rajagobal untuk
mendapatkan gol penyamaan terbantut apabila dikejutkan dengan gol ketiga
daripada pasukan tuan rumah menerusi Muhammad Ridwan pada minit ke-52.
Pemain gantian Indonesia, Arif Suyono meledak gol keempat pada minit
ke-77 sebelum Irfan Haarys Bachdim menambah derita Malaysia apabila
menjaringkan gol kelima pada lewat babak perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus menjadikan misi anak-anak buah
Rajagobal untuk mara ke saingan peringkat separuh akhir tampak sukar
apabila perlu mencatatkan kemenangan dalam dua baki perlawanan peringkat
kumpulan.
Sudah pastinya pertemuan menentang Thailand Sabtu ini bakal menjadi
penentu terhadap hala tuju Malaysia dalam saingan kali ini sebelum
dijadual pula berdepan Loas pada aksi terakhir peringkat kumpulan Selasa
depan.
Sumber: Kosmo