MALAYSIA tidak bercadang untuk menggunakan khidmat pemain dari negara
lain untuk mewakili pasukan kebangsaan khususnya bola sepak.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,
kerajaan tidak akan mengambil jalan pintas dalam program pembangunan
atlet dan mahu melahirkan atlet bertaraf dunia daripada kalangan rakyat
tempatan.
“Program pembangunan atlet kita pada masa ini berjalan dengan baik.
Walaupun kita tidak menggunakan khidmat pemain atau atlet dari luar,
kita masih boleh mencapai kejayaan.
“Buktinya ialah pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia baru-baru ini.
Kedudukan kita merupakan yang terbaik di kalangan negara-negara ASEAN
yang ada antara mereka menggunakan khidmat pemain dari luar yang diberi
kerakyatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Kompleks Sukan Bukit Jalil
semalam.
Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan wakil media Indonesia
mengenai kemungkinan Malaysia menggunakan khidmat pemain bola sepak
dari luar untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Pada Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang sedang
berlangsung, Indonesia menggunakan khidmat dua penyerang asing yang baru
diberikan kerakyatan iaitu Cristian Gonzales kelahiran Uruguay dan
Irfan Bachdim kelahiran Belanda manakala Singapura juga mempunyai
beberapa pemain dari luar.
Ahmad Shabery berkata, walaupun program sedemikian pernah dijalankan
semasa Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel 1998, usaha itu telah
dihentikan.
“Rakyat lebih gemar kita bangunkan dan lahirkan atlet kita sendiri.
Kesannya (hasil) lebih berpanjangan dan kurang bergantung pada orang
luar juga lebih baik,” katanya.
Dalam Piala Suzuki AFF, selaku naib juara Kumpulan A, Malaysia akan
menghadapi juara Kumpulan B iaitu Vietnam pada 15 Disember ini di
Stadium Nasional Bukit Jalil dan di tempat lawan tiga hari kemudian.
Juara kumpulan A Indonesia pula akan menentang Filipina dalam satu lagi separuh akhir.
“Saya menyeru seluruh masyarakat untuk beramai-ramai membanjiri
Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu ini dan sama-sama memberi
sokongan kepada pasukan negara,” kata Ahmad Shabery.
sumber: Bernama