Saturday, October 13, 2012

Azraai tinggalkan NS

Azraai mengambil keputusan tidak menyambung
kontrak bersama PBNS

TEKI-TEKI mengenai kedudukan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya terjawab semalam.
Bekas pengendali Kedah itu mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya bersama pasukan tersebut yang akan berakhir November tahun ini.
Bagaimanapun Azraai berkata, keputusan untuk meninggalkan skuad Hoben Jang Hoben bukan berpunca daripada salah faham atau konflik dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
"Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak saya bersama PBNS yang akan tamat pada November depan.
"Saya mengambil keputusan ini kerana mahu berubah angin dan bukan disebabkan faktor lain seperti salah faham atau konflik dengan mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi di Seremban semalam.
Azraai berkata, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokong skuad Rusa yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama beliau berkhidmat di bumi adat perpatih itu.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih, khususnya kepada Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan termasuk pihak pengurusan dan semua pemain kerana telah memberi kepercayaan dan kerjasama kepada saya untuk menggalas tanggungjawab memimpin pasukan ini.
"Saya berharap pasukan Negeri Sembilan akan lebih maju dan berjaya pada masa akan datang,'" ujarnya.
Mengulas berhubung haluannya selepas ini, Azraai memberitahu bahawa terdapat beberapa pasukan lain sedang merisik untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.
"Nama pasukan itu saya tidak boleh maklumkan tetapi buat masa ini, apa yang boleh saya beritahu ada tiga pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya," katanya.
Azraai dilantik sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan pada bulan Mac 2011 bagi menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang mengundurkan diri.
Pada musim pertamanya bersama Negeri Sembilan, beliau berjaya membawa skuad Hoben Jang Hoben menjulang Piala Malaysia pada tahun 2011.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan hanya mampu layak ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia selain menjulang Piala Sumbangsih musim ini.
Sebelum ini, Azraai tetap diberi kepercayaan untuk membina semula skuad Hoben Jang Hoben itu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas gagal mempertahankan Piala Malaysia tahun ini.
Keyakinan itu disuarakan sendiri Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dalam misi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap dengan persediaan dilakukan mulai sekarang.
Beliau mengakui, Azraai terpaksa membariskan ramai pemain daripada skuad Piala Presiden berikutan kehilangan beberapa tonggak utama musim ini.

Sumber: Kosmo Online

comment via Facebook

Viral Like Control Manager