Friday, October 5, 2012

Gergasi Merah tekad benam ego Kelantan


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

Amri yahya meraikan jaringannya bersama rakan pasukan
STADIUM Sultan Muhammad IV di Kota Bahru dianggap gelanggang keramat buat Kelantan.

Ini kerana stadium yang mempunyai kapasiti 30,000 tempat duduk itu sentiasa menjadi igauan kepada pasukan pelawat.

Sebagai rekod, kali terakhir Kelantan tumbang di gelanggang sendiri ialah ketika tewas 1-2 kepada T-Team pada aksi Liga Super, musim lalu.

Malam ini, Kelantan akan melayan kunjungan Selangor bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Atas kertas, Kelantan masih lagi dilihat memiliki kelebihan berdasarkan kepada rekod cemerlang skuad The Red Warriors itu apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Kehadiran ribuan penyokong fanatik Kelantan pastinya menghadirkan rasa gerun buat Sang Gergasi Merah yang berazam mencalarkan reputasi cemerlang The Red Warriors.

Menyedari anak-anak buahnya bakal menghadapi ranjau berliku malam ini, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu Gergasi Merah beraksi dalam keadaan tertekan sehingga mengundang padah buat mereka.


"Kami mahu bermain secara enjoy. Kita semua sudah tahu bahawa Kelantan cukup kebal beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV tetapi kami sudah bersiap sedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

"Saya tidak mahu mempedulikan apa yang berlaku di luar padang kerana fokus kami adalah 11 pemain sahaja.
"Ada 180 minit untuk perlawanan ini (separuh akhir). Jadi kami mahu peluang 90 minit pertama dengan sebaik mungkin untuk merobek gawang Kelantan.

"Ia amat penting sebagai bekalan terbaik sebelum kami beraksi di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini (bagi aksi separuh akhir kedua).

"Paling mustahak, saya mahu pemain-pemain mengekalkan prestasi terbaik mereka selepas beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia sebelum ini," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Irfan menegaskan bahawa barisan pemainnya terutama benteng pertahanan harus memberikan tumpuan dan lebih berdisiplin bagi mengekang asakan Kelantan.

"Ketenangan paling mustahak tetapi kami juga tidak boleh terlalu santai.
"Sikap agresif itu harus ada dan seperti yang saya katakan tadi, kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi Kelantan," katanya.

Sumber: Kosmo Online

comment via Facebook

Viral Like Control Manager