Friday, October 5, 2012

Gol Semangat

Marlon Alex James dalam perlawanan malam tadi


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menarik nafas lega apabila berjaya mengikat Lions XII dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.

Jaringan penyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-52 boleh dianggap ‘gol semangat’ buat ATM sebelum melayan kunjungan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 11 Oktober ini.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan secara menyerang ke kubu lawan masing-masing.

ATM terlebih dulu menghukum tuan rumah apabila Marlon bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk melepasi tonggak pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Lions XII memperoleh gol penyamaan menerusi Muhammad Safuwan Baharuddin pada minit ke-80.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma sebelum Safuwan menanduk masuk bola ke gawang ATM yang dikemudi penjaga gol, Farizal Harun.

Biarpun gagal meraih kemenangan, pujian harus diberikan kepada ATM yang tampil buat kali pertama di atas padang rumput tiruan.

Pada masa yang sama, pengendali ATM, B. Sathianathan juga tidak dapat menurunkan barisan terbaik selepas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menjalani penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Zaquan akan kembali memperkuat cabaran ATM bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti.

sumber: Kosmo Online

comment via Facebook

Viral Like Control Manager