Saturday, October 13, 2012

Malaysia B21 bermula baik


Skuad Malaysia Bawah-21 memulakan saingan Piala Newspaper 2012 dengan baik selepas menumpaskan Laos B21 4-2 di Stadium Pleiku, Vietnam.
Oleh Aysha Ridzuan dari Stadium Pleiku
Ketiadaan pemain-pemain tonggak dari pasukan Harimau Muda telah memaksa jurulatih, Ong Kim Swee menurunkan
pemain-pemain baru seperti Nurridzuan dari skuad Piala Presiden Perak, Ariff Farhan yang berusia 16 tahun dan Mohamad Nashriq di bahagian pertahanan.
Thamil Arasu dilantik sebagai kapten pasukan sementara Irfan Fazail di bangku pemain simpanan kerana masih belum pulih dari kecederaan sepenuhnya.
Laos memulakan perlawanan dengan baik apabila beberapa asakan dilakukan. Namun Malaysia mendahului perlawanan melalui jaringan cantik jarak jauh oleh Ariff Farhan pada minit ke-14.
Tujuh minit selepas itu, pemain Laos Manolom Phomsouvanh melakukan percubaan berbahaya tetapi berjaya ditepis oleh Farhan Abu Bakar.
Ahmad Hazwan Bakri meletakkan Malaysia 2-0 di hadapan apabila menanduk masuk sepakan percuma oleh Nurridzuan pada minit ke-27.
Tiga minit selepas itu, Nurridzuan melakukan percubaan pertamanya untuk Malaysia namun tendangannya kurang tepat.
Laos tidak berputus asa dan kepantasan mereka turut memberikan masalah kepada pasukan Malaysia. Asakan bertubi-tubi dilakukan di hadapan gawang gol Malaysia namun tidak berjaya menembusinya dan separuh masa tamat dengan Laos ketinggalan 2-0 kepada Malaysia.
Bermulanya separuh masa kedua, Laos yang bergantung kepada serangan balas telah mengambil peluang sepenuhnya dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-53 jaringan Thinnakone Vongsa.
Kesilapan benteng pertahanan Malaysia membawa padah apabila Laos menjaringkan gol penyamaan dua minit kemudian.
Pada minit ke-77, seorang lagi pemain berusia 16 tahun, Adam Nor Azlin masuk menggantikan Nurridzuan bagi mengukuhkan lagi pertahanan.
Empat minit sebelum masa tamat, Thamil Arasu berjaya menyumbat gol ketiga untuk Malaysia hasil usaha solo darinya dan pada masa tambahan, Thamil Arasu telah membuat hantaran kepada Saarvindran yang menjaringkan gol keempat untuk Malaysia.
Ariff Farhan telah menerima anugerah penjaring pertama perlawanan dan Thamil Arasu sebagai pemain terbaik perlawanan.
Kemenangan ini bermakna Malaysia sudah selangkah ke suku akir Piala Newspaper. Mereka akan bertemu Sydney FC B21 pada 17 Oktober ini.

sumber: ESPNstar.my

comment via Facebook

Viral Like Control Manager